Pages

Saturday, July 9, 2011

Sufi Road : Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani

SYAIKHUL KARAMAH ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih dilahirkan di Ghujdawan, sebuah bandar yang berdekatan dengan Bukhara yang kini dikenali sebagai Uzbekistan. Bapaknya bernama Imam ‘Abdul Jalil Rahmatullah ‘alaih, seorang dari kalangan Wali Besar serta ‘Alim yang masyhur dalam berbagai bidang ‘Ilmu Zahir dan Batin di zaman kegemilangan Byzantin. Silsilah keturunan bapaknya sampai kepada Imam Malik Rahmatullah ‘alaih. Ibunya adalah seorang puteri Raja Seljuk Anatolia dari kerajaan Rom.

Semenjak zaman anak-anak lagi beliau telah mempelajari Al-Quran dan Tafsirnya, ‘Ilmu Hadits, Nahwu dan Saraf bahasa ‘Arab dan ‘Ilmu Fiqh dari Hadhrat Syeikh Sadruddin Rahmatullah ‘alaih di Ghujdawan. Setelah beliau menguasai bidang ‘Ilmu Syari’at, beliau telah mengalihkan tumpuannya kepada Mujahadatun Nafs sehinggalah dia telah mencapai pada suatu kedudukan yang tinggi lagi suci. Kemudian beliau telah berpindah ke Syria di mana dia telah mendirikan sebuah Madrasah yang telah melahirkan begitu banyak penuntut ilmu. Mereka kesemuanya menguasai bidang Fiqh dan Hadits serta ilmu-ilmu keruhanian di Tanah Khurasan dan di Tanah ‘Arab.

Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih telah memperolehi nisbat ‘Ilmu Batin menerusi Syeikh Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih. Beliau merupakan salah seorang khalifah besar Syeikh Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih dan mencapai kedudukan kewalian yang tertinggi dalam Silsilah ‘Aliyah Naqshbandiyah dan menjadi penghulu bagi Tariqat ini. Perkataan beliau adalah hujjah dan pada hakikatnya menjadi dalil bagi perjalanan Tariqat. Beliau merupakan Syeikh bagi sekalian Syeikh, Mujtahid serta Qutub pada zamannya. Beliau juga dikenali sebagai Syaikhul Karamah kerana memiliki banyak Keramat. Cahaya Ruhaniahnya bersinar seumpama mentari dan beliau merupakan seorang Mahaguru dalam tingkatan Ruhani yang tertinggi pada zamannya. Beliau merupakan seorang ‘Arif yang Kamil dalam bidang Tariqat Tasawwuf dan dianggap sebagai pancuran limpahan ‘Ilmu Ma’rifat di kalangan Para Asfiya serta diibaratkan seumpama sebuah mata air bagi Para Masyaikh dan Khwajahgan.

Khidhzr ‘Alaihissalam telah memberitahu suatu khabar berita yang gembira kepada bapanya Syeikh Imam ‘Abdul Jalil Rahmatullah ‘alaih sebelum kelahirannya, “Bahwa kamu akan menerima kelahiran seorang putera lelaki dan hendaklah diberikan nama ‘Abdul Khaliq kepadanya. Daku telah menerimanya sebagai anakku dan daku akan memberikan kepadanya sebahagian dari Nisbatku.”
Di dalam kitab Al-Hadaiqul Wardiyah ada menceritakan tentang bagaimana beliau telah mencapai tahap keruhanian yang tinggi dalam Silsilah Emas. Beliau telah memperolehi limpahan Faidhz dari Khidhzr ‘Alaihissalam setelah bertemu dengannya dan bersuhbah dengannya. Beliau mengambil darinya ‘Ilmu Ketuhanan dan menambahkannya pada ‘Ilmu Keruhanian yang telah diperolehinya dari Syeikhnya, Syeikh Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih.
Pada suatu hari, Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih sedang mempelajari ‘Ilmu Tafsir dari gurunya Syeikh Maulana Sadruddin Rahmatullah ‘alaih. Apabila tiba pada suatu ayat dari Surah Al-A’raf ayat 55 yang bermaksud, “Serulah Tuhan Pemeliharamu dengan merendahkan diri dan secara tersembunyi, sesungguhnya Dia tidak
mengasihi orang yang melampaui batas.” Beliau telah bertanya kepada Gurunya Syeikh
Maulana Sadruddin Rahmatullah ‘alaih bagi mendapatkan
kepastian tentang hakikat mengingati Allah secara tersembunyi dan bagaimanakah kaedah perlaksanaannya?
Lalu mengajukan soalan, “Tariqat apakah yang Allah Ta’ala terangkan ini? Jika orang yang berzikir melakukan Zikir dengan suara yang keras atau menggerakkan tubuh badan pada Maqam Zikirnya, maka zikirnya itu dapat diketahui oleh orang lain dan keadaan ini tidak lagi dinamakan sebagai Zikir yang tersembunyi dan jika dia berzikir menerusi hatinya, maka
menurut sebuah Hadits bahawa, “Syaitan mengalir di dalam urat saraf anak Adam pada tempat mengalirnya darah,” yang mana Syaitan pula dapat mengetahuinya. Maka
wahai Guruku, apakah yang dimaksudkan dengan menyeruNya secara tersembunyi di dalam hati?”
Gurunya pun menjawab,
“Ini adalah ‘Ilmu Laduni, ianya tersembunyi dan daku berharap mudah-mudahan Allah Ta’ala menemukan kamu dengan seorang Wali Allah yang dapat memberikanmu penjelasan di lidah dan di hatimu tentang hakikat Zikir yang tersembunyi ini.”

Semenjak dari waktu itu, Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih sentiasa sibuk mencari-cari Auliya Allah dan menanti-nanti bilakah doanya akan dikabulkan. Pada suatu ketika pada hari Jumaat, beliau sedang duduk di pintu gerbang sebuah taman, Syeikh h ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih terlihat seorang yang Salih datang kepadanya. Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun memberikan penghormatan serta memuliakan Buzurg tersebut.
Kemudian orang Salih itu berkata kepada Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih, “Wahai orang muda, aku mendapati kesan kesalihan ada di dalam dirimu, apakah kamu ada berbai’ah pada tangan dimana Syeikh?”
Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun berkata, “Tidak, semenjak sekian lama daku berusaha mencarinya.” Lalu orang Salih itu pun berkata,
“aku adalah Khidhzr dan aku telah menerimamu sebagai seorang dari anakku. aku akan memberi kamu suatu pelajaran dan hendaklah dikau tetap mengamalkannya dan padamu akan terbuka segala rahsia. Daku telah mendapat izinan dari Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk mentalqinkan pada lidah dan pada hatimu akan suatu Zikir yang tersembunyi beserta jumlah bilangannya.” Kemudian Khidhzr ‘Alaihissalam menyuruh Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih turun ke tasik dan menyelam dalam air serta mengucapkan dalam hati kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASUL ALLAH. Syeikh ‘AbdulKhaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun terus mengerjakannya dan tetap dengan Zikir yang telah ditalqinkan oleh Khidhzr ‘Alaihissalam tersebut setiap hari sehingga terbuka berbagai rahsia tentang Nur, Hikmah, Cinta dan Jazbah terhadap Zat Yang Maha Suci pada hatinya.
Dengan mengamalkan Zikir tersebut, banyak orang mulai tertarik kepada Syeikh ‘Abdul KhaliqGhujduwani Rahmatullah ‘alaih dan telah menuntut untuk menuruti jejak langkah perjalanan Tariqatnya, maka beliau telah membawa mereka menuruti jejak langkah Hadhrat
Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallhu ‘Alaihi Wasallam.

Setelah berlaku peristiwa itu, suatu ketika Syeikh Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘Alaih telah tiba di Bukhara, maka Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun mengambil kesempatan itu untuk pergi berkhidmat padanya dan telah mengambil Bai’ah darinya. Ketika berada di samping Hadhrat Khwajah YSyeikh ahmatullah ‘alaih, Syeikh
‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih sentiasa hadir untuk bersuhbah dengannya dan telah menghasilkan banyak faedah limpahan Faidhz dan Barakah darinya. Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih merupakan orang yang mula-mula dalam Silsilah Tariqat yang menggunakan Zikir Khafi dan telah dianggap sebagai seorang Mahaguru dalam perlaksanaan Zikir tersebut.
Khidhzr ‘Alaihissalam merupakan Syeikhnya dalam pelajaran Zikir dan Syeikh Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih adalah pula merupakan Syeikhnya dalam Khirqah dan Khilafat atas perjalanan Tariqat. Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih telah berkata,
“Ketika daku berusia 22 tahun, Syeikh Yusuf Hamadani telah mengarahkan Khidhzr ‘Alaihissalam agar tetap mendidikku dan tetap memerhatikan diriku sehingga saat kematianku.” Syeikh Muhammad Parsa Rahmatullah ‘alaih, seorang sahabat dan penulis riwayat Syeikh Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih menyatakan
dalam kitabnya Faslul Kitab bahawa kaedah Zikir yang diamalkan oleh Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani dan pengajarannya tentang lapan prinsip Tariqat telah dianuti dan diamalkan oleh kesemua 40 jalan Tariqat sebagai jalan menuju kebenaran dan kemuliaan serta jalan kesedaran dalam menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallhu ‘Alaihi Wasallam dengan meninggalkan segala bentuk Bida’ah dan Mujahadah
untuk menundukkan segala nafsu yang bersifat rendah. Beliau merupakan seorang Mahaguru pada zamannya dan menduduki tingkatan yang tertinggi dalam bidang keruhanian.

Beliau telah menampilkan 8 prinsip asas Tariqat ‘Aliyah Taifuriyah Khwajahganiyah yang seterusnya menjadi asas bagi Tariqat ‘Aliyah Naqshbandiyah
seperti berikut:
1. Hosh Dar Dam - kesadaran dalam nafas.
2. Nazar Bar Qadam - memerhatikan pada langkah.
3. Safar Dar Watan - melakukan perjalanan dalam diri.
4. Khalwat Dar Anjuman - menyendiri dalam khalayak manusia.
5. Yard Kard - melakukan ingatan Zikir.
6. Baz Gasht - kembali ke Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
7. Nigah Dasyat - memelihara pandangan Musyahadah bersungguh-sungguh.
8. Yad Dasyat – melakukan ingatan Zikir denganbersungguh-sungguh.

Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih mempunyai empat orang Khalifah:
1. Syeikh Ahmad As-Siddiq Rahmatullah ‘alaih
2. Kabirul Awliya Syeikh ‘Arif Awliya Al-Kabir Rahmatullah ‘alaih
3. Syeikh Sulaiman Al-Kirmani Rahmatullah‘alaih
4. Khwajah ‘Arif Riwagari Rahmatullah ‘alaih

PERKATAAN PETUNJUKNYA DAN PETUNJUK
PERKATAANNYA
BELIAU sentiasa berada dalam hal keadaan Khauf dan ketakutan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga walau di mana saja beliau duduk, beliau akan duduk seolah-olah dirinya akan dibunuh. Pada suatu hari ketika berada di tempat ibadatnya, beliau sibuk dengan menangis. Para sahabatnya bertanya kepada beliau, “Dengan segala kelebihan yang Allah Ta’ala telah kurniakan kepadamu, mengapa kamu begitu Khauf ketakutan dan menangis?
Beliau menjawab,
“Apabila daku memikirkan tentang Sifat Allah Ta’ala yang tidak bergantung kepada sesuatu, maka Ruhku hampirhampir terkeluar dari jisimku dan tangisanku ini adalah disebabkan mungkin pada diriku ada sesuatu tindakanku yang tidak daku ketahui dan ianya tidak disenangi di hadapan Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”
Beliau pernah berkata,
“Ketika daku berusia dua puluh tahun, Khidhzr ‘Alaihissalam telah meminta Syeikh Yusuf Hamdani Rahmatullah ‘alaih memberikan dorongan kepadaku dan mewasiatkannya agar memberikan Tarbiyah kepadaku.”

Pada suatu ketika, seorang Darwish datang kepadanya lalu bertanya apakah arti Taslim? Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih punberkata,
“Taslim ialah apabila seseorang Mukmin itu dengan diri Nafsnya dan hartanya menerusi perjanjian Alastu Birabbikum, menjualkannya pada Tangan Allah Ta’ala lalu
membeli Syurga, dan sehingga kini inilah yang maksudkan dengan Taslim bahwa maksud Firman Allah Ta’ala,
“Seseungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin itu akan diri mereka dan harta mereka dengan menggantikan bagi mereka Syurga. Diri dan harta hendaklah
Taslim dengan menganggap bahawa diri dan hartanya adalah milik Allah dan memahami bahawa dirimu adalah amanah Haq Allah Ta’ala, sehinggakan setakat mana yang
kamu mampu, dengan diri dan hartamu itu buatlah kerja kebaikan terhadap hamba-hamba Allah Ta’ala dan jangan mengharapkan sebarang Ihsan dari sesiapa pun. Harta dan kebendaan Duniawi hendaklah dikeluarkan dari hati dan dirimu hendaklah tetap memelihara Hukum Allah.” Pada suatu ketika, seorang Khadim datang kepadanya lalu bertanya apakah arti Faraghat? Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun berkata,
“arti Faraghat pada hati ialah seseorang itu tidak menemui sebarang jalan untuk mencintai Dunia bukan bermakna dia bebas dari sebarang urusan Dunia. Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyatakan menerusi Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala, “Fa Iza Faraghta Fansab” pada Surah Alam Nasyrah ayat 7 yang mafhumnya, “Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain,” ianya bermaksud bahwa kosongkanlah hatimu kemudian sibukkanlah diri dengan mengingati Kami.
Sesungguhnya bagi Para Ahlullah, dalam urusan jual beli mereka dan perbualan mereka sesama makhluk tidak menjadikan ingatan Zikir terhadap Allah Ta’ala itu sebagai
suatu kesukaran. Kerana itulah Allah Ta’ala memuji jemaah golongan tersebut dan inilah yang dimaksudkan sebagai para lelaki yang sebenar menerusi FirmanNya,
“Para lelaki yang tidak dilalaikan pada mereka perniagaan dan tidak pula jual beli dari mengingati Allah Ta’ala.”
Seterusnya beliau berkata, “Jika kamu berada dalam golongan tersebut, maka semoga kamu memperolehi Keberkatan. Jika kamu tidak tidak berupaya menjadi seperti golongan tersebut, maka hendaklah kamu berkhidmat kepada golongan tersebut dengan diri dan harta kamu, dan menenteramkan hati mereka dan menyediakan asbab Faraghat untuk mereka supaya mereka dapat menyibukkan diri mereka mengingati Allah dengan hati yang tenang dan bagi kamu juga akan dapat memperolehi bahagian dari amalan kebaikan mereka kerana kekuatan yang diperolehi menerusi suapan makanan yang mana mereka dapat melaksanakan amal ketaatan dan ‘Ibadah, pahalanya akan diberikan juga kepada orang yang memberinya makanan dan minuman, dan darjat, maqamat serta kesempurnaan mereka juga akan dituliskan kepada
orang yang memberikan makanan dan minuman kepadanya, dan barangsiapa yang mengasihi mereka dan sentiasa membantu keperluan mereka, menurut firman Nabawi
Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam,
“Al-Mar-u Ma’a Man Ahabba,” yang bermaksud bahawa pada Hari Qiyamat, Insan akan ditempatkan

bersama mereka yang dicintainya sewaktu di Dunia. Dari kalangan mereka itu terdapat sebagian yang meletakkan pengkhususan dalam Ma’iyat mencintai Allah Subhanahu
Wa Ta’ala, maka pada waktu itu mereka akan dikurniakan dengan Tasarruf Ketuhanan.
“Jazbatun Min Jazbatillah Tawari ‘Amalats Tsaqilain,” yang bermaksud bahawa satu Jazbah dari Jazbah yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala adalah melebihi amalan sekalian Jin dan Manusia. Maka inilah merupakan hal keadaan mereka, bahawa barangsiapa yang berkhidmat
kepada mereka dengan sebahagian diri dan hartanya, juga akan bernasib baik menerima kebaikan-kebaikan mereka dan ini akan menjadi suatu nikmat yang besar kepadanya yang mana jika berkumpul seluruh manusia dari Timur dan Barat masih tidak akan dapat memikirkan keadaan orang yang memberikan khidmat tersebut, seumpama berada di atas
titian yang tidak diketahui dari mana puncanya dan ke mana penghujungnya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengisyarahkan perkara ini menerusi FirmanNya yang
bermaksud,
“Dan apa-apa yang telah Allah Ta’ala kurniakan kepadamu hendaklah kamu menggunakannya untuk membina Negeri Akhirat dan janganlah melupakan bahagian
kamu di dunia, dan berbuatlah kebaikan dengan makhluk Allah sepertimana Allah telah berbuat kebaikan kepada kamu.” Melakukan sesuatu khidmat kepada Ahli Allah
adalah bererti melakukan sesuatu untuk mencapai keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”

Sumber : AR-RISALAH AL-‘ALIYAH
Faqir Maulawi Jalalluddin Ahmad Ar-Rowi An-Naqshbandi Al-Mujaddidi Al-Uwaisi
‘Ufiya Allahu ‘Anhu Wali Walidaihi

No comments:

Post a Comment